Blog Archive

Total Pageviews

Powered by Blogger.

Calendar.. ^_^

Search This Blog

Tuesday 13 December 2011

Nabi Terima Wahyu Pertama

Hadis Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah Ummul Mukminin ra, katanya:

            Wahyu yang mula-mula turun kepada Rasulullah S.A.W. ialah berupa mimpi-nyata di waktu tidur, yang dilihat jelas oleh beliau bagaikan cahaya pagi. Semenjak itu timbul keinginan di hati beliau hendak sunyi diri, lalu beliau pergi mengasingkan diri di Gua Hira’. Di situ beliau beribadat selama beberapa malam, hingga perbekalannya habis. Apabila perbekalannya telah habis, beliau pulang kepada isterinya Khadijah, untuk mengaimbil lagi bekal secukupnya, dan kemudian beliau kembali pula ke Gua Hira’. Keadaan itu berlangsung beberapa lama hingga suatu ketika apabila datang kepadanya Al-Haq, iaitu ketika beliau di Gua Hira’.

            Malaikat datang kepadanya lalu berkata, “Bacalah!”

            Jawab Nabi, “Saya tidak tahu membaca.”
Kata Nabi (menceritakan): Lalu saya ditarik dan dipeluknya hingga saya kepayahan. Kemudian saya dilepaskan seraya dia berkata, “Bacalah!” Jawabku, “Saya tidak tahu membaca.”

            Lalu saya ditarik dan dipeluknya kali kedua, hingga saya kepayahan. Kemudian saya dilepaskan seraya dia berkata, “Bacalah”, Jawabku, “Saya tidak tahu membaca.”

            Lalu saya ditarik dan dipeluknya kali ketiga, kemudian saya dilepaskan seraya dia berkata: “Iqra’ bismirabbikal lazii khalaq. Khalaqal insaana min ‘alaq. Iqra’ warabbukal akram….” (Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang mencipta. Mencipta manusia dari segumpal darah. Bacalah! Demi Tuhanmu yang Maha Mulia, yang mengajar dengan kalam. Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”

            Selepas itu Rasulullah S.A.W. bergegas pulang ke rumah, membawa pengalaman yang baru dialaminya itu, dengan tubuh menggigil gementar. Kepada isterinya Khadijah dia berkata, “Selimutilah aku! Selimutilah aku!” Khadijah segera menyelimutinya hingga hilang rasa terkejutnya. Dia berkata kepada Khadijah, setelah menceritakan apa yang berlaku, “Sungguh aku bimbangkan diriku.”

            Maka kata Khadijah, “Jangan bimbang. Tapi gembiralah! Demi Allah, Tuhan sekali-kali tidak akan mengecewakan kamu. Kamu selalu menghubungkan tali silaturrahim, berkata yang benar, menunaikan tanggungjawab, menyediakan yang belum ada, memuliakan tetamu, dan menolong orang-orang yang menegakkan kebenaran.”

            Selepas itu Khadijah pergi bersama dengan Nabi menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, iaitu anak bapa saudara Khadijah, yang beragama Nasrani sejak zaman Jahiliyah. Dia pandai menulis kitab dalam bahasa Arab, dan telah menyalin kitab Injil ke dalam bahasa Arab, beberapa salinan. Usianya telah lanjut, dan matanya telah buta.

            Khadijah berkata kepadanya, “Wahai anak bapa saudaraku! Dengarlah khabar dari anak saudaramu ini.” Maka Waraqah bin Naufal pun berkata, “Wahai anak saudaraku. Apakah yang telah berlaku kepadamu?” Lalu Rasulullah S.A.W. pun menceritakan kepadanya peristiwa yang telah di alaminya itu.

            Kata Waraqah, “Itulah Namus (malaikat) yang pernah diutus Allah kepada Musa a.s. Wahai diriku, kalaulah aku masih muda…. Wahai, kalaulah aku masih hidup ketika engkau diusir oleh kaummu.”

            Rasulullah S.A.W. brtanya, “Apakah mereka akan mengusirku?” Jawab Waraqah, “Ya. Tidak pernah seorang pun yang membawa apa yang engkau bawa itu tidak dimusuhi orang. Sekiranya aku masih sempat bersama engkau pada hari itu, pasti aku akan membelamu sekuat-kuatnya.”

            Tidak berapa lama selepas itu Waraqah pun meninggal dunia.

(Terjemahan Hadis Shahih Muslim, 2003, Darel Fajr Publishing House, Singapura hadis no. 132, ms 77-79. Shahih Bukhari (Terj), 1997, Klang Book Centre, Klang hadis no3, ms2-5 (i))

No comments:

Post a Comment