Sabar dan Bertaqwa Kepada Allah
NABI IDRIS a.s ada semulia-mulia rasul dan ditingkatkan kemuliaannya oleh Allah s.w.t. kerana baginda banyak bersabar dan amat bertaqwa dalam melakukan ibadahnya kepada Allah s.w.t.
Baginda adalah datuk kepada bapa Nabi Nuh a.s. dan keturunan Qabil (anak Nabi Adam a.s. yang durhaka kepada Allah). Seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, beliaulah yang mula-mula pandai menulis dengan kalam, membaca dan kepadanya diturunkan oleh Allah 30 Shahifah yang berisi petunjuk daripadaNya untuk disampaikan kepada umatnya.
Baginda juga orang dapat mempelajari ilmu bintang, menghitung dan turut memerangi orang-orang mendurhaka kepada Allah serta banyak memperlajari kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Adam dan Nabi Syits.
Nabi Idris juga mempunyai kepandaian dalam mengunting dan menjahit pakaian. Walaupun sentiasa sibuk dalam urusan harian beliau tidak pernah lalai dalam melakukan ibadah kepada Allah.
Beliau juga mempunya keberanian yang hebat dalam memerangi orang yang kufur kepada Allah sehingga digelar “Asadul Usud” artinya singa dari segala singa. Dalam surah Maryam ayat 56-57 Allah berfirman yang bererti, “Terangkanlah (hal)Idris yang tersebut di dalam AlKitab (Al-Quran), bahawa Idris itu adalah seorang Nabi yang benar, dan Tuhan telah meninggikan derajatnya,” Telah berkata sesetengah ahli tafisr: Tatkala terbuka bagi Idris untuk berkenalan dengan para malaikat, maka Nabi Idris mempunyai keinginan untuk melihat alam ghaib (naik ke langit) maka keinginan Nabi Idris itupun dikabulkan Allah s.w.t. sehinggalah naiklah Nabi Idris ke langit yang keempat dan setengah mengatakan langit keenam.
Diriwayatkan oleh Al Bukhari lagi daripada Anas bin Malik, “Ketika Nabi Muhammad s.a.w. dan Jibril melalui suatu tempat pada malam Isra’ dan Mikraj baginda telah bertemu dengan Nabi Idris yang menyambut dengan ucapannya, “Selamat datang Nabi yang soleh dan saudara yang soleh” maka bertanya Nabi Muhammad s.a.w. “Siapakah dia?”Malaikat Jibril menjawab: Dialah Idris”
Dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 85-86 Allah berfirman, “Ingatlah akan kisah Ismail, Idris dan Zulkifli; masing-masing masuk dalam golongan yang sabar, Kami masukkan mereka itu ke dalam rahmat Kami, sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang yang soleh,”



No comments:
Post a Comment